LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Melihat baju anak perempuan jiran (mangsa) dipenuhi darah (ketika menjerit meminta tolong), saya dah dapat syak (berlaku pembunuhan).

"Sehinggalah disahkan jiran lain yang masuk ke dalam rumah berkenaan, saya tidak menyangka ia (pembunuhan) boleh berlaku," kata Jamaliah Md Jamil, 35.

Dia adalah jiran kepada wanita warga emas yang ditemukan mati disyaki ditikam anak kandungnya dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, di sini, petang tadi.

Jamaliah berkata, dia sama sekali tidak menyangka jirannya yang juga pesara guru itu dibunuh, tambahan pula warga emas itu baru sahaja kematian suami bulan lalu.

Katanya, anak mangsa yang dipercayai melakukan pembunuhan ini sebelum ini juga tidak pernah mengamuk.

Mengimbas semula insiden yang berlaku itu, Jamaliah berkata, dia ketika itu di kedai runcitnya sebelum terdengar jeritan anak perempuan mangsa.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke kediaman mangsa sebelum melihat beberapa penduduk memanjat pagar dan masuk ke dalam rumah jirannya itu.

"Apabila dapat masuk ke kawasan rumah jiran itu, saya lihat anak lelaki mangsa berada di hadapan rumah.

"Sekumpulan empat penduduk kampung menangkap lelaki itu dan ketika itu dia tidak melawan, saya hanya mendengar arahan supaya dia duduk diam," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dalam keadaan panik dan cemas, dia menghubungi talian kecemasan sebelum sepasukan polis tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 6:35 PM