FADILLAH  (kiri) menunjukkan risalah parti pembangkang  yang mengandungi maklumat yang tidak tepat.
FADILLAH (kiri) menunjukkan risalah parti pembangkang yang mengandungi maklumat yang tidak tepat.

Rompin: Projek menaik taraf Jalan Kuantan-Segamat kepada empat lorong akan bermula September depan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, fasa pertama projek itu membabitkan laluan sejauh 47 kilometer dari Gambang, Kuantan ke Paloh Hinai di Pekan dengan kos kira-kira RM300 juta dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan.

“Fasa kedua projek menaik taraf laluan sama sejauh 100 kilometer dari Paloh Hinai ke Muadzam Shah, Rompin hingga Segamat dengan kos kira-kira RM1.2 bilion akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11),” katanya ketika ditemui selepas melawat Kampung Setajam dekat sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Datuk Abdul Jalil Mohamad.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 14 projek membaiki jalan di sekitar daerah ini diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya Daerah membabitkan peruntukan keseluruhan RM10 juta bagi menurap jalan berlubang, membaiki jalan mendap yang sedang dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Ini tindakan segera dan perancangan jangka panjang bagi melancarkan laluan trafik seterusnya mengurangkan risiko kemalangan maut.

“Kita (Barisan Nasional (BN)) apabila berjanji, akan ditepati, cuma mengambil masa. Pengundi di Parlimen Rompin tidak patut termakan dengan isu dimainkan pembangkang,” katanya.

Beliau menyangkal dakwaan PAS yang memainkan isu berkenaan termasuk mengedar risalah bagi meraih simpati pengundi sepanjang kempen PRK Rompin.

“Ia tidak benar kerana fasa pertama projek menaik taraf Jalan Kuantan-Segamat kini dalam proses memuktamadkan tender sebelum kerja menaik taraf bermula empat bulan lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 9:31 AM