FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seramai 36 individu daripada 6,618 penjawat awam di Negeri Sembilan yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 bakal berhadapan tindakan tatatertib.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya menggesa individu berkenaan mempertimbangkan semula keputusan itu sebelum dikenakan tindakan jabatan masing-masing atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Katanya, pihaknya sudah mengarahkan setiap ketua jabatan yang terbabit untuk terus menasihatkan individu berkenaan supaya bersedia menerima suntikan vaksin secepat mungkin.

"Berdasarkan senarai yang ada sehingga kini terdapat 36 penjawat awam di negeri ini yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Mereka diminta mendapatkan pengesahan daripada doktor sama ada benar-benar tidak boleh divaksin ataupun sebaliknya, untuk kita menilainya semula.

"Bagaimana pun, jika mereka masih bertegas enggan divaksin, kita akan menasihatinya dan mengambil tindakan yang perlu termasuk ke peringkat tindakan tataterbit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali meminta semua penjawat awam patuh kepada pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November lalu.

JPA menerusi kenyataan akhbar pada 30 Oktober lalu memaklumkan, keputusan mewajibkan suntikan vaksin kepada penjawat awam itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Aminuddin berkata, selain itu, terdapat 13 individu lagi dikesan tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan.

"Secara keseluruhannya setakat ini sebanyak 98.8 peratus penjawat awam di negeri ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malek ketika ditemui berkata, data menunjukkan mereka yang enggan menerima vaksin berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Beliau berkata, tindakan terakhir yang akan dikenakan kepada penjawat awam yang enggan menerima vaksin adalah tatatertib.

"Kita akan beri ruang dalam tempoh satu atau dua bulan kepada mereka yang berkenaan dan akan lihat dari segi kes tertentu sebelum mengambil tindakan yang sesuai dengan mengambil kira kepentingan masa depan diri dan ahli keluarga mereka.

"Selain itu, kita juga akan teruskan sesi kaunseling, namun tindakan ketika ini yang dibuat adalah diasingkan mereka sebagai langkah keselamatan.

"Saya berharap mereka dapat mengubah fikiran dan menerima suntikan vaksin Covid-19 demi kepentingan diri, ahli keluarga dan masyarakat lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 4:35 PM