GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, hari ini gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.

Adly yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil dalam permohonan untuk memulakan semakan kehakiman, memohon pengisytiharan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka ke-14 pada 4 Oktober lepas, adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin ketika menolak permohonan Adly, memutuskan bahawa keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan Dun Melaka, tidak boleh diadili.

Hakim Noorin dalam penghakiman ringkasnya berkata berpandukan Perkara 7 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, membenarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, setelah tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Adun untuk membuat keputusan memohon kepada responden keempat (Mohd Ali) bagi membubarkan Dun.

"Susulan permintaan responden pertama (Sulaiman), responden keempat (Mohd Ali) mempertimbangkan dan bersetuju dengan pembubaran Dun ke-14 berkuat kuasa 4 Oktober lalu kerana beliau diberi kuasa untuk berbuat demikian mengikut Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri.

"Mahkamah ini mendapati bahawa sejak awal lagi tidak pernah ada nasihat diberikan responden pertama kepada responden keempat untuk membubarkan Dewan. Hanya ada permintaan dan berdasarkan permintaan itu, responden keempat boleh mengambil langkah-langkah berdasarkan Perkara 7 (4) perlembagaan berkenaan untuk memperkenankan permintaan pembubaran itu.

"Responden keempat menggunakan kuasanya dengan betul di bawah Perkara 19 (2) perlembagaan. Ini adalah proses diambil oleh responden keempat," kata Hakim Noorin.

Hakim seterusnya berkata, pembubaran Dun adalah tidak boleh diadili dan diterima untuk semakan kehakiman.

"Perkara tersebut telah diselesaikan. Tiada merit untuk mengemukakan hujah lanjutan dan permohonan ini ditolak tanpa perintah berhubung kos," tambahnya.

Adly, 50, memfailkan permohonan itu dengan menamakan Sulaiman; Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohd Ali masing-masing sebagai responden pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Dalam permohonan itu, Adly memohon satu deklarasi bahawa tindakan responden pertama (Sulaiman) menasihati responden keempat (Mohd Ali) pada 4 Oktober lalu untuk membubarkan Dun Melaka setelah tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti Adun, telah melanggar undang-undang, terbatal serta tidak sah.

Beliau memohon deklarasi bahawa adalah tidak munasabah dan tidak rasional bagi Sulaiman menasihati Mohd Ali supaya membubarkan Dun dalam keadaan pandemik Covid-19 atau fasa endemiknya di negara ini.

Adly turut memohon perintah certiorari agar writ pilihan raya SPR bertarikh 18 Oktober untuk mengadakan PRN dibatalkan; selain kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli memberitahu pemberita bahawa beliau akan menunggu arahan selanjutnya daripada anak guamnya untuk tindakan seterusnya.

Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy dan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Jabatan Peguam Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 2:47 PM