ANGGOTA APM menjalankan sesi demonstrasi mencari dan menyelamat mangsa banjir mengikut norma baharu di Bukit Mertajam, hari ini. FOTO DANIAL SAAD.
ANGGOTA APM menjalankan sesi demonstrasi mencari dan menyelamat mangsa banjir mengikut norma baharu di Bukit Mertajam, hari ini. FOTO DANIAL SAAD.
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih memerlukan pelbagai aset terutama membabitkan logistik seperti kenderaan bagi membolehkan operasi menyelamat ketika berdepan sesuatu bencana alam dapat digerakkan dengan lebih lancar.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, setakat ini, agensi itu tidak pernah mempunyai masalah keanggotaan kerana ia mencukupi.

Beliau berkata, tambahan pula, penugasan anggota di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), pengurusan jenazah Covid-19 serta sekatan jalan raya (SJR) sudah semakin berkurangan.

"Oleh itu, anggota ini boleh digerakkan untuk operasi lain dan ia tidak menjadi masalah kerana keanggotaan kita sentiasa mencukupi.

"Namun dari segi logistik, kita masih perlukan pelbagai aset khususnya kenderaan seperti 4x4 (kenderaan pacuan empat roda) supaya memudahkan pergerakan ke kawasan terpencil.

"Selain itu, kita memerlukan penambahan bot bersaiz kecil dan lori bersaiz tiga tan," katanya selepas mengikuti sesi demonstrasi mencari dan menyelamat mangsa banjir mengikut norma baharu di Jeti Kampung Terus, Kubang Semang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Roslan mengikuti kayuhan kesiapsiagaan serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk setempat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di sekitar kampung berkenaan.

Beliau berkata, penambahan aset itu amat diperlukan memandangkan APM ketika ini meminta bantuan daripada daerah atau negeri jiran setiap kali berlakunya bencana terutama di kawasan terpencil.

Menurutnya, sehingga kini, APM mempunyai 15,000 hingga 20,000 anggota boleh digerakkan di seluruh negara jika berlaku sebarang kejadian bencana alam seperti banjir dan sebagainya.

Mengulas mengenai demonstrasi menangani bencana banjir mengikut norma baharu, Roslan berkata, beliau mengarahkan setiap daerah di Pulau Pinang dan negeri lain supaya dapat memperluaskan program simulasi terbabit.

"Ini kerana ia amat penting bagi memberi lebih kesiapsiagaan kepada APM semasa mengendalikan sesuatu operasi mencari dan menyelamat ketika bencana.

"Sebagai contoh, di bawah norma baharu ini, kita tunjukkan kaedah menyelamatkan mangsa banjir dalam dua situasi berbeza iaitu pertama, mangsa biasa dan kedua, mangsa sedang menjalani kuarantin akibat Covid-19.

"Mangsa ini akan diasingkan khemah mereka sebaik sahaja tiba di lokasi penempatan banjir bagi mengelakkan jangkitan dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 4:34 PM