Ekhwan Haque Fazlul Haque


Melaka: Walaupun kurang senang dengan pencalonan dua muka lama bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dan Pantai Kundor, Pemuda Pakatan Harapan (PH) akur dengan keputusan pucuk pimpinan.

Ketua Pemuda PH, Howard Lee Chuan How berkata, keputusan Majlis Presiden dan pemimpinan PH Melaka terus dipatuhi dan dihormati.

Menurutnya, ketidakpuasan hati itu tercetus disebabkan alasan yang kukuh namun keputusan sudah dibuat kepimpinan.

"Jelas ada yang setuju dalam PH dengan asas yang kukuh. Tetapi apabila keputusan sudah dibuat secara berjemaah dan ia perlu akur.

HOWARD Lee bersama penampilan calon muda Pakatan Harapan semasa sidang media di Pejabat Parti Amanah Melaka, Bukit Katil, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
HOWARD Lee bersama penampilan calon muda Pakatan Harapan semasa sidang media di Pejabat Parti Amanah Melaka, Bukit Katil, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad

"Apa yang penting kini rakyat akan tentukan keputusan yang dibuat itu tepat atau sebaliknya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Amanah Negara (Amanah), di Bukit Rambai, hari ini.

Dalam sidang media sama, Howard memperkenalkan calon muda yang ditampilkan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, antaranya adalah Farzana Hayani Mohd Nasir, 21 dari PKR bagi kerusi DUN Sungai Rambai dan Muhamad Danish Zainudin, 25 dari DAP bagi DUN Pangkalan Batu.

Dalam sidang media sama, Howard berkata, keputusan meletakkan calon muda mencerminkan keberanian PH membawa perubahan dan menawarkan pembaharuan kepada rakyat.

"Kira-kira 40 peratus pengundi Melaka dalam PRN kali ini adalah pengundi muda dan ia adalah tawaran baharu kepada mereka mengangkat calon muda.

"Calon muda akan membawa perubahan dan pentadbiran kerajaan negeri dalam ekonomi, kesihatan dan pemulihan Covid-19 di Malaysia.

"Kini adalah cabaran untuk mereka memastikan demokrasi dapat dipertahankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 3:11 PM