Pendaki yang mendapat bantuan bomba di Bukit Broga, Semenyih hari ini. Foto Ihsan JBPM
Pendaki yang mendapat bantuan bomba di Bukit Broga, Semenyih hari ini. Foto Ihsan JBPM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kajang: Empat lelaki yang melakukan aktiviti mendaki Bukit Broga, Semenyih di sini, berdepan detik cemas selepas seorang daripadanya mengalami kekejangan, manakala seorang lagi kepenatan selepas tersasar dari laluan ketika menuruni bukit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 2.32 petang.

Menurutnya, laporan diterima memaklumkan tiga lelaki berusia 18 hingga 20 tahun tahun terbabit mendaki buat kali kedua untuk mencari rakan mereka berusia 19 tahun yang tersasar dari laluan.

"Bagaimanapun, seorang daripada mereka mengalami kekejangan dan terpaksa meminta bantuan pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norazam berkata, pihak bomba yang ke lokasi kemudiannya berjaya menemui mereka dan memberi bantuan air minuman sebelum dibawa turun.

"Kesemua mereka dibawa turun pada 4.35 petang dan diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 7:20 PM