PASUKAN penyelamat memberi bantuan kepada mangsa (duduk, kanan) di Bukit Beruang, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
PASUKAN penyelamat memberi bantuan kepada mangsa (duduk, kanan) di Bukit Beruang, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Nur Saliawati Salberi


AKTIVITI riadah seorang lelaki bersama rakannya sempena cuti umum di Bukit Beruang bertukar detik cemas apabila kakinya mengalami kekejangan, hari ini.

Difahamkan, mangsa berusia 27 tahun mendaki ke bukit itu bersama kira-kira tujuh rakannya sebelum kakinya kejang pada 12.30 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.42 tengah hari daripada mangsa sebelum 14 anggota bergegas ke lokasi.

Katanya, setibanya di lokasi anggota bomba bersama-sama polis dan pasukan perubatan membuat lakaran lokasi bagi mengesan kedudukan sebenar mangsa.

"Dalam masa kira-kira 30 minit, mangsa berjaya ditemui dan ketika itu dia berada dalam keadaan lemah serta kepenatan.

"Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh Pasukan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dan pasukan perubatan Hospital Melaka sebelum dibawa turun," katanya ketika dihubungi.

Katanya, operasi membawa turun mangsa mengambil masa kira-kira 40 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 7:54 PM