MOHD Hizam alami kekejangan ketika daki Bukit Broga.
MOHD Hizam alami kekejangan ketika daki Bukit Broga.
HM Digital

Semenyih: Hajat seorang lelaki untuk menawan puncak keempat Bukit Broga dekat sini, tidak kesampaian apabila mengalami kekejangan otot kedua-dua belah kaki sebaik sampai ke puncak ketiga bukit berkenaan.

Malah, disebabkan kekejangan itu, mangsa, Mohd Hizam Othman, 33, diusung turun oleh anggota penyelamat yang menerima panggilan daripada rakannya jam 11.50 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Zainal Elias Abdul Aziz berkata, sembilan anggota penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) Balai bomba dan Penyelamat Bangi serta dua anggota polis dikejarkan ke puncak ketiga Bukit Broga bagi membawa turun mangsa.

Katanya, pasukan penyelamat menemui mangsa jam 1.44 petang dalam keadaan baik namun tidak mampu untuk berjalan.

“Oleh kerana keadaan mangsa yang tidak boleh berjalan, pasukan penyelamat mengusung turun mangsa ke bawah menggunakan pengusung secara bergilir-gilir.

“Mangsa dibawa turun jam 2.25 petang dan diserahkan kepada unit EMRS yang membantu memberi rawatan susulan kepadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 9:36 AM