Noor Atiqah Sulaiman

Sepang: Kerajaan negeri disaran untuk tidak mengehadkan kekerapan penerbangan ke negeri masing-masing bagi menstabilkan harga tiket penerbangan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, had bagi kekerapan penerbangan seharusnya dibuat oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum diberikan kepada syarikat penerbangan di negara ini.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada setiap negeri sudah ketat dan ia sepatutnya tidak menjadi masalah untuk negeri menerima kemasukan pelancong.

Memberi contoh kenaikan harga tiket penerbangan di Sarawak, katanya, walaupun Kerajaan Persekutuan sudah membenarkan rentas negeri, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) tetap membuat sekatan iaitu hanya membenarkan pengembara memasuki negeri itu pada waktu tertentu dan ia menyukarkan syarikat penerbangan.

"Selain itu, syarat tambahan yang dikenakan kepada pelancong yang ingin memasuki Sarawak seperti menjalankan ujian calitan juga membantutkan usaha kita untuk memperbanyakkan kekerapan.

"Dengan syarat tambahan yang dikenakan itu, syarikat penerbangan pun akan fikir dua kali sama ada untuk tambah (penerbangan) atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Elektronik Perlesenan (AeroLicence) dan aplikasi mudah alih FlySmart di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini, hari ini.

WEE Ka Siong berucap merasmikan aplikasi FlySmart Mobile sistem perlesenan elektronik untuk pengendali perkhidmatan penerbangan Malaysian Aviation Commission (MAVCOM) di KLIA 2. FOTO Hazreen Mohamad
WEE Ka Siong berucap merasmikan aplikasi FlySmart Mobile sistem perlesenan elektronik untuk pengendali perkhidmatan penerbangan Malaysian Aviation Commission (MAVCOM) di KLIA 2. FOTO Hazreen Mohamad

Sebelum ini, Wee memaklumkan harga tiket penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak merekodkan antara satu hingga enam kali ganda lebih mahal bagi tarikh penerbangan antara 2 hingga 8 November, berbanding harga tiket pada 2019.

Bagaimanapun, beliau dilapor berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak serta tiga syarikat penerbangan dan berharap masalah itu diselesaikan secepat mungkin.

"Sekarang ini kita sudah nampak harga tiket penerbangan beransur turun, namun masih belum sampai ke tahap yang diidamkan. Namun penurunan harga tiket itu tidak mungkin akan kembali pada paras harga sebelum terjadinya pandemik Covid-19.

"Kalau dulu kita faham, rakyat takut kerajaan kembali buat sekatan dan itu sebab tidak beli (tiket) awal. Namun kini keadaan sudah kembali stabil dan buat perancangan lebih awal seperti (beli tiket) dua minggu sebelum (perjalanan)," katanya.

Mengenai aplikasi FlySmart, Wee berkata, ia membantu pengembara mengetahui SOP terkini yang ditetapkan oleh sesebuah negara yang ingin mereka lawati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 6:14 PM