Kaunter daftar masuk penerbangan MYAirline. FOTO ARKIB NSTP
Kaunter daftar masuk penerbangan MYAirline. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengarahkan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) untuk menghentikan segera sebarang jualan dan tempahan tiket di semua platform tempahan sehingga notis selanjutnya, berikutan penggantungan operasi mengejut oleh syarikat penerbangan itu.

Dalam kenyataannya, suruhanjaya itu juga menegaskan bahawa MYAirline bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik kepada pengguna yang membeli tiket penerbangan.

"MAVCOM berhubung rapat dengan MYAirline bagi menangani isu ini dan menjalankan siasatan ke atas syarikat penerbangan itu berdasarkan pelaksanaan semakan dalaman serta aduan diterima antara lainnya berkenaan pembayaran statutori yang tidak dijelaskan kepada pekerja.

"MAVCOM juga mengarahkan MYAirline untuk segera membantu pengguna terjejas termasuk memaklumkan mengenai penggantungan operasi berkenaan dan menerbitkan pengumuman itu menerusi saluran komunikasi yang tersedia," katanya.

Kenyataan MAVCOM adalah sebagai mengulas tindakan MYAirline pada pagi ini yang memaklumkan mengenai penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.

Selain itu, MAVCOM berkata, pihaknya akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai operasi MYAirline dalam masa terdekat.

Suruhanjaya terbabit juga bertindak menyediakan talian dan saluran khusus untuk membantu pengguna yang terjejas akibat penggantungan operasi berkenaan.

Pengguna terjejas yang membeli tiket penerbangan MYAirline bagi tarikh 12 Oktober 2023 dan selanjutnya diminta menghubungi saluran aduan khas [email protected] bagi sebarang pertanyaan dan bantuan.

Mereka juga boleh menghubungi saluran aduan khusus MAVCOM termasuk hotline pengguna +1800-18-6966 (dalam Malaysia) atau +603-7651 2777 (luar negara), e-mel: [email protected] serta menerusi borang aduan aplikasi FlySmart iaitu https://flysmart.my/buat-aduan/, kata suruhanjaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 12:04 PM