Kawasan pasar di Kuala Kedah mula dimasuki air akibat fenomena air pasang besar yang melanda tengah malam tadi. Foto Ihsan JBPM
Kawasan pasar di Kuala Kedah mula dimasuki air akibat fenomena air pasang besar yang melanda tengah malam tadi. Foto Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Fenomena air pasang besar mula melanda kawasan Kuala Kedah tengah malam tadi yang menyebabkan beberapa kawasan mula dinaiki air.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pemantauan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar pada 11.30 malam tadi mendapati air laut sudah memasuki kawasan pasar di Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah.

Menurutnya, anggota bomba hanya bersedia dan menjalankan operasi sekiranya menerima panggilan menyelamat penduduk yang terperangkap dalam banjir.

"Setakat ini, kita sudah memberi arahan kepada anggota di beberapa BBP di lokasi yang dikenal pasti akan berlaku air pasang besar untuk melakukan pemantauan di kawasan pantai dan sungai berdekatan.

"Untuk di Kuala Kedah, kita meletakkan anggota dari BBP Alor Setar dan Jalan Raja untuk melakukan pemantauan, manakala BBP Yan, Guar Chempedak dan Sungai Petani pula bersedia melakukan pemantauan di kawasan Yan dan Pantai Murni di Yan.

"BBP Tikam Batu dan Kulim pula diletakkan untuk pemantauan di kawasan Kuala Muda," katanya ketika dihubungi.

Fenomena air pasang besar dijangka mencapai paras maksimum setinggi 3.1 meter berlaku dalam tempoh antara semalam hingga Ahad ini.

Sementara itu, beberapa rumah penduduk di Kuala Jerlun di Kubang Pasu juga dinaiki air akibat fenomena yang sama.

Penduduk, Imran Hamid, 32, berkata, kebanyakan rumah penduduk yang dimasuki air terletak berhampiran laut.

Katanya, air pasang besar kelmarin tidak seteruk malam tadi kerana kali ini ia masuk ke dalam rumah dengan cepat.

"Ada penduduk yang terkejut tetapi terpaksa menyelamatkan barangan berharga terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 1:02 AM