Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jalan raya utama di Jalan Putra Mergong serta beberapa kawasan di bandar raya ini dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar yang melanda awal pagi tadi.

Berikutan itu, paras air yang naik setinggi antara 0.3 meter (m) hingga 0.5 m turut menyebabkan banyak premis rumah kedai termasuk hotel dan rumah penduduk berhampiran Sungai Kedah turut dinaiki air pada 1.30 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain yang melakukan tinjauan di beberapa kawasan di bandar raya Alor Setar memaklumkan air pasang ini berlaku antara 1.17 pagi dan surut pada 4 pagi tadi.

Beliau berkata, terdapat beberapa kenderaan dan motosikal yang terkandas akibat ada kawasan yang berisiko rendah dinaiki air.

"Berikutan itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja dihantar untuk melakukan pemantauan di kawasan itu untuk memastikan tiada berlaku insiden yang tidak diingini.

"Fenomena air pasang ini berlaku sejak 4 November lalu tetapi hari ini yang paling teruk berikutan paras air ombak yang tinggi iaitu 3.1 m menyebabkan sekitar bandar raya ini turut dinaiki air disebabkan limpahan sungai yang bertembung dengan laut berlaku," katanya ketika ditemui hari ini.

ANTARA kawasan terjejas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANTARA kawasan terjejas. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Mohamadul Ehsan berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak bermain di kawasan air ketika fenomena air pasang ini berlaku kerana bimbang kejadian tidak diduga berlaku.

Beliau berkata, malam ini dijangka fenomena air pasang besar ini akan berlaku lagi tetapi tidak besar seperti hari ini kerana jangkaan ombak di laut setinggi 3.0 m berbanding 3.1 m hari ini.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak dari berada di kawasan yang dipenuhi air kerana bimbang ada kawasan yang dalam di situ selain kemungkinan bahaya seperti air deras.

"Kita akan terus menghantar anggota di kawasan yang dikenal pasti berlakunya fenomena air pasang ini di beberapa daerah iaitu di Kuala Kedah, Kuala Jerlun di Kubang Pasu, Pantai Murni dan Sungai Udang di Yan serta Dataran Tsunami dan Pantai Merdeka di Kuala Muda untuk melakukan pemantauan," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, fenomena air pasang besar itu tidak turut disertai hujan, jika tidak keadaan akan lebih buruk dan banyak rumah akan ditenggelami air.

Penduduk di daerah ini, Musa Harun, 61, berkata, kali terakhir fenomena air pasang seperti ini berlaku kira-kira 15 tahun lalu yang menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini ditenggelami air.

Katanya, mujur ia berlaku pada waktu tengah malam dan awal pagi kerana jika waktu siang mungkin akan menyebabkan banyak kenderaan terkandas dan tenggelam dalam air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 8:43 AM