Abdul Majid (tengah) bersama pasukan anggota FRU yang ditugaskan pada PRN Melaka. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Abdul Majid (tengah) bersama pasukan anggota FRU yang ditugaskan pada PRN Melaka. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri

[email protected].

Melaka: Polis Melaka memberi jaminan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang kekacauan.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya sudah bersiap sedia dari segi kententeraman awam selain turut mengenal pasti 16 kawasan panas.

Menurutnya, kesemua kawasan akan dijalankan pengawasan dan pemantauan rapi selain kawasan yang dikatakan 'hot spot' diberi tumpuan.

"Polis Melaka amat bersedia apabila berlakunya kekecohan dan memberi jaminan bahawa kita bersedia serta akan pastikan kententeraman awam di Melaka semasa PRN berjalan lancar supaya rakyat boleh keluar mengundi selain proses demokrasi dapat berjalan.

"Untuk peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kita mempunyai 17 pasukan 'strike force' yang ditugaskan di lapangan dengan membabitkan keseluruhan anggota 3,835 dan daripada jumlah itu 1,245 adalah bantuan daripada kontinjen luar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Latihan Ketenteraamn Awam (POX) OP PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah, hari ini.

Katanya, daripada 16 kawasan panas dikenal pasti itu lapan adalah di daerah Melaka Tengah dan bakinya membabitkan Alor Gajah serta Jasin.

"Apa yang kita maksudkan dengan 'hot spot' kemungkinan menjadi tumpuan dan ada pertandingan berbagai penjuru. Dijangkakan kawasan ini punya pertandingan lebih dua penjuru serta ada pecahan penyokong.

"Kita turut mendapat bantuan empat unit dron untuk membuat pengawasan udara. Kawasan ini kita akan gunakan unit dron untuk membuat penilaian keselamatan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang tempoh PRN ini juga, pihaknya turut mendapat bantuan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dari Bukit Aman.

"Ini bukan bermaksud kententeraman tidak terkawal tetapi sebagai bersiap sedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 1:23 PM