Cuthbert John Martin Quadra melihat kelengkapan bot yang akan digerakkan ketika banjir. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Cuthbert John Martin Quadra melihat kelengkapan bot yang akan digerakkan ketika banjir. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka mengenal pasti 124 lokasi di negeri ini yang sering dilanda banjir.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, lokasi terbabit kerap banjir kerana berlakunya limpahan air sungai dari kawasan berhampiran ketika hujan lebat.

"Bagi daerah Melaka Tengah, kami mengenal pasti 59 lokasi 'hot spot' manakala di Jasin pula 42 dan 23 lokasi di Alor Gajah.

"Kedudukan kawasan itu hampir dengan sungai utama antaranya Sungai Belimbing, Sungai Putat serta Sungai Tehel. Namun, jumlah itu hanyalah jangkaan dan APM sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Melaka Tengah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

Beliau berkata, dalam menghadapi cuaca Monsun Timur Laut (MTL), pihaknya bersiap siaga bukan sahaja daripada segi kekuatan anggota, malah logistik akan digerakkan bagi menyelamatkan dan membantu mangsa banjir.

Menurutnya, APM mempunyai 260 pegawai dan anggota ditugaskan untuk banjir dan sekiranya kekuatan itu tidak mencukupi, pihaknya memiliki 473 anggota lain.

"Semua 43 aset termasuk 18 bot dan lima lori berada dalam keadaan baik dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.

"Rondaan turut dilakukan anggota APM ke kawasan dikenal pasti bagi memantau paras air sebagai langkah berjaga-jaga dalam memberi amaran awal kepada penduduk setempat.

"Kerjasama strategik dijalankan antara APM dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk mengetahui paras air semasa agar pasukan dapat bertindak segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 6:30 PM