Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Seremban: Terdapat perkembangan positif berkaitan isu kerjasama antara Pas, Bersatu dan Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini, kata Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, ia susulan perbincangan antara ketiga-tiga parti dalam mesyuarat yang diadakan semalam.

"Ada sedikit berita gembira malam tadi, kita sudah adakan mesyuarat bersama Pas, Umno dan Bersatu. Insya-Allah, dalam membicarakan persiapan PRN Melaka, nampaknya sekarang Pas dikehendaki oleh semua parti.

"Umno buat keputusan dia setuju bersama Pas, kita rakamkan ucapan terima kasih kepada Umno kerana merasai dan perlunya muafakat politik dikekalkan dan pada waktu sama, Bersatu pun nak bersama kita," katanya ketika berucap dalam Muktamar Dewan Pemuda PasS Malaysia Ke-62 di Port Dickson yang bersiaran secara langsung di laman Facebook rasmi sayap Pemuda parti itu hari ini.

Tuan Ibrahim juga berkata, permuafakatan dan kerjasama antara ketiga-tiga parti adalah lebih besar berbanding perebutan kerusi selain Pas turut memiliki pengalaman yang panjang dalam arena politik negara.

Ketua Pemuda Pas Khairil Nizam Khirudin pula berkata, parti itu konsisten mengajak Umno dan Bersatu serta pemegang taruh yang lain untuk menerima prinsip perpaduan.

Beliau juga berkata, Pemuda Pas mempunyai peranan besar sebagai ejen keharmonian kaum antara parti.

Menyentuh landskap politik negara, Khairil Nizam berkata, pendaftaran automatik pengundi baharu berusia 18 tahun (Undi18) merupakan 'pencetus perubahan' terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

"Jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas ialah seramai 5.6 juta individu dan daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun berjumlah 1.2 juta manakala 4.4 juta orang lagi adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, mereka layak mengundi," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena muktamar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 11:48 PM