MUHAMMAD Sanusi (depan, empat kanan) melakukan pelepasan misi bantuan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Sanusi (depan, empat kanan) melakukan pelepasan misi bantuan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Langkah kerajaan negeri memperkenalkan Permit Pembinaan Ekspres atau E10 menjadi faktor utama menjadikan Kedah sebagai negeri tertinggi menerima pelaburan di Malaysia antara Januari hingga September tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, permit itu memberi manfaat kepada pelabur terutamanya dari aspek kepantasan proses bagi membenarkan mereka beroperasi dalam tempoh 10 bulan sahaja.

"Kalau dulu mungkin pelabur ini perlu menunggu hingga tiga atau empat tahun sebelum dapat beroperasi sepenuhnya tetapi dengan E10, tempoh masa diperlukan hanya 10 bulan saja.

"Saya amat gembira dengan pencapaian ini selain yakin betapa negeri Kedah akan terus menjadi pilihan pelabur-pelabur besar pada masa akan datang," katanya selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan 300 sukarelawan Kedah ke Selangor di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Syed Shaharuddin Syed Abdullah danTimbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumaman Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semalam bahawa Kedah sebagai negeri yang menerima pelaburan tertinggi di Malaysia antara Januari hingga September 2021 dengan nilai keseluruhan RM57.1 bilion.

Kedudukan itu meninggalkan Sarawak di kedudukan kedua dengan nilai pelaburan RM23.9 bilion diikuti Kuala Lumpur, RM22.5 bilion.

Selain itu Muhammad Sanusi berkata, banyak faktor lain yang turut mempengaruhi pelaburan di Kedah antaranya adalah disebabkan kestabilan politik disamping lokasi yang strategik.

"Malah nilai hartanah di Kedah jugamasih murah. Ditambah pula dengan proses kita yang cepat dan orang Kedah yang baik-baik, sebab itulah pelabur datang ke Kedah.

"Kejayaan ini insyaAllah akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Kedah sekali gus membawa kepada limpahan nikmat ekonomi di negeri ini.

"Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang banyak membantu terutamanya menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan MIDA berhubung aspek pelaburan di Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 12:58 PM