SEBAHAGIAN mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
SEBAHAGIAN mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan peningkatan seramai 526 mangsa dari 145 keluarga yang dipindahkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah yang terjejas banjir di negeri ini.

Jumlah itu dilaporkan setakat jam 8 pagi hari ini berbeza berbanding jam 12 tengah malam tadi iaitu hanya 416 mangsa dari 113 keluarga lima PPS di tiga daerah.

Ini berikutan tiga lagi PPS dibuka iaitu satu di Kubang Pasu dan dua di daerah Baling berikutan hujan lebat semalam yang menyebabkan paras air meningkat.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, setakat ini jumlah mangsa banjir di Pendang masih meningkat iaitu seramai 245 dari 61 keluarga dipindahkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah berbanding 228 mangsa dari 57 keluarga malam tadi.

Beliau berkata, daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 179 mangsa dari 52 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS termasuk dua PPS yang baru dibuka semalam.

"Kesemua mangsa banjir di daerah itu dipindahkan ke SK Langgar iaitu seramai 79 mangsa dari 23 keluarga manakala di SK Suka Menanti seramai 38 mangsa dari 15 keluarga dan PPS SK Darul Hikmah seramai 62 mangsa dari 14 keluarga.

"Satu PPS di Kubang iaitu di SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dibuka jam 2 pagi tadi dengan menempatkan seramai 65 mangsa dari 19 keluarga.

"Ini berikutan paras air yang meningkat di kawasan Changlun sejak petang semalam yang turut disertai hujan lebat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata, dua PPS yang ditutup semalam di daerah Baling terpaksa dibuka semula berikutan paras air yang meningkat semula di kawasan itu akibat hujan.

Beliau berkata, PPS SK Siong menempatkan seramai tujuh mangsa dari empat keluarga dan PPS Tunku Putera seramai lapan mangsa dari empat keluarga.

"Kedua-dua PPS di Baling ini dibuka antara jam 1 pagi dan 4.30 pagi tadi.

"Jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah itu mencecah 15 mangsa dari lima keluarga," katanya.

Dijangkakan jumlah mangsa banjir di negeri akan bertambah sekiranya hujan lebat yang boleh menyebabkan paras air sungai meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 10:30 AM