Beberapa rumah di Pokok Sena terjejas akibat banjir kilat. FOTO IHSAN BOMBA
Beberapa rumah di Pokok Sena terjejas akibat banjir kilat. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lima lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di dua daerah di negeri ini iaitu tiga di Baling dan dua di Pokok Sena malam tadi berikutan hujan lebat sejak semalam yang menyebabkan banjir.

Ini menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat seramai 446 orang dari 139 keluarga di tiga daerah yang ditempatkan di 10 PPS di negeri ini setakat jam 8 pagi hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, jumlah keseluruhan PPS yang aktif iaitu tujuh di Baling, satu di Pendang dan dua di Pokok Sena.

Menurutnya, hanya satu PPS di Baling iaitu di Sekolah Kebangsaan Tanjung Pari sudah tiada mangsa namun ia masih aktif.

"Tiga PPS yang baru dibuka di daerah itu (Baling) adalah SK Tengku Putera iaitu seramai 26 mangsa dari lapan keluarga, PPS SK Pulai menempatkan 124 mangsa dari 42 keluarga dan SK Keda menempatkan seramai 24 mangsa dari 10 keluarga.

"PPS yang sedia ada yang dibuka sejak Khamis lalu iaitu di SK Siong menempatkan 18 mangsa dari sembilan keluarga, PPS Banggol Derom ada 39 mangsa dari 10 keluarga dan SK Titi Gantung menempatkan tiga mangsa dari sebuah keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata, dua PPS yang baru dibuka di Pokok Sena semalam ialah PPS Surau Permatang menempatkan 22 mangsa dari lapan keluarga dan PPS Masjid Sungai Durian seramai 14 mangsa dari enam keluarga.

Katanya, PPS di daerah Pendang pula mencatatkan peningkatan jumlah mangsa iaitu 176 mangsa dari 45 keluarga berbanding 141 mangsa dari 36 keluarga yang dilaporkan semalam.

"Kesemua mangsa banjir di daerah itu ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 12:35 PM