PASUKAN penyelamat melakukan SAR mencari wanita mengalami kemurungan dipercayai terjun ke Sungai Perak berhampiran Jeti Durian Sebatang, Teluk Intan. FOTO IHSAN POLIS
PASUKAN penyelamat melakukan SAR mencari wanita mengalami kemurungan dipercayai terjun ke Sungai Perak berhampiran Jeti Durian Sebatang, Teluk Intan. FOTO IHSAN POLIS
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Wanita mengalami kemurungan dipercayai terjun ke Sungai Perak berhampiran Jeti Durian Sebatang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, terdahulu, wanita berusia 49 tahun itu disedari tiada di rumah oleh suaminya jam 9 pagi.

Menurut Ahmad Adnan, suaminya kemudiannya mencari wanita itu namun gagal ditemui selain gagal dihubungi.

"Suami mangsa kemudiannya menjumpai kereta isterinya yang ditinggalkan di tepi Sungai Perak, jam 4.30 petang.

"Lelaki itu membuka kereta menggunakan kunci pendua dan menemui kad pengenalan dan dompet isterinya namun mendapati telefon bimbit wanita berkenaan tiada di situ," katanya dihubungi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, susulan itu, lelaki berkenaan membuat laporan polis kerana syak isterinya terjun ke sungai berkenaan.

"Lelaki berusia 55 tahun itu memaklumkan, isterinya mengalami kemurungan dan enggan bercakap sejak seminggu lalu.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dijalankan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 3:45 PM