Zaid Salim


Kuala Terengganu: Seramai 18 nelayan antara 211 individu diberkas kerana terbabit dalam kegiatan penagihan dan pengedaran dadah menerusi serbuan Ops Jihad Dadah 2.0 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu dalam tempoh tiga hari bermula Jumaat lalu.

Ketua JSJN Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung berkata, selain penahanan individu terbabit dengan penyalahgunaan dadah, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan 303.21 gram (g).

Beliau berkata, enam daripada tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, seorang mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 38A(1) seramai lapan orang, Seksyen 12(3) (39 orang), 154 orang mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB dan tiga orang mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Paling ramai ditahan adalah kategori umur antara 30 hingga 39 iaitu seramai 80 orang, diikuti 19 hingga 29 (57 orang) dan 40 hingga 49 ( 54 orang).

"Kami menahan seorang warga emas berusia 71 tahun iaitu penagih syabu dan memiliki enam rekod jenayah dadah dalam serbuan di kediamannya di Kampung Pulau Duyong," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tium berkata, penganggur berusia antara 20 hingga 40 tahun paling ramai ditahan iaitu seramai 88 orang.

Katanya, ketiadaan pekerjaan tetap menyebabkan sebilangan besar daripada mereka terjerumus dalam penagihan dadah.

"Golongan ini turut dikatakan antara penyumbang kepada jenayah lain seperti mencuri dan pecah rumah bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

"Kategori pekerjaan kedua adalah buruh iaitu 84 orang yang kebanyakan daripada mereka terbabit dalam pengagihan dadah jenis pil kuda serta nelayan," katanya.

Beliau berkata, jumlah tangkapan paling ramai dilakukan di Kuala Terengganu iaitu 67 orang diikuti Kemaman (38), Besut (35), Marang (26), Dungun (18), HuluTerengganu (15) dan Setiu seramai 12) orang.

Menurutnya, pihaknya akan meneruskan operasi itu dan mensasarkan tiga lokasi ' black spot' di setiap daerah di negeri ini berjaya ditukarkan kepada 'white spot' setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 4:55 PM