DOUGLAS UGGAH EMBAS
DOUGLAS UGGAH EMBAS
Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my

Kuching : Seramai 121,030 atau 41.3 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 hingga Ahad lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, seramai 231,803 atau 79.1 peratus daripada keseluruhan 295,174 orang remaja sudah menerima dos pertama dalam tempoh yang sama.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, berikutan pencapaian itu, pihaknya mensasarkan semua remaja berusia antara 12 hingga17 tahun akan lengkap vaksinasi sebelum 31 Oktober ini.

"Sarawak mula memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja bermula 8 September lalu bagi semua remaja berusia 16 hingga 17 tahun dan remaja 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

"Bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun tanpa komorbid, Sarawak memulakan pemberian vaksin kepada mereka pada 24 September lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi suntikan dos penggalak pula, Uggah berkata, seramai 11,156 orang dalam kalangan warga emas dan petugas barisan hadapan perubatan sudah menerimanya.

"Sarawak mula melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 mulai 13 Oktober lalu dan golongan warga emas menerima dos penggalak di klinik swasta serta hospital swasta, manakala petugas barisan hadapan pula menerimanya di fasiliti kesihatan awam dan swasta," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya sehingga Ahad lalu, Sarawak sudah mencapai 90.7 peratus liputan dua dos bagi dewasa berusia 18 tahun ke atas, manakala bagi semua peringkat usia (termasuk 12 hingga 17 tahun) adalah 70.1 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 4:31 PM