Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) pada sidang media di Menara Kinabalu, hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) pada sidang media di Menara Kinabalu, hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Vaksinasi bagi golongan remaja di Sabah hanya akan dimulakan apabila 80 peratus populasi dewasa negeri itu lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia juga bergantung kepada bekalan vaksin yang mencukupi untuk pelaksanaannya.

"Sarawak telah mula memberi vaksin kepada golongan remaja pada minggu ini kerana mereka telah mencapai sebanyak 80 peratus populasi orang dewasa yang telah divaksin.

"Apabila kita mempunyai bekalan yang mencukupi dan negara mencapai 80 peratus populasi orang dewasa yang divaksin, kami akan mengesyorkan vaksinasi untuk remaja.

"Fokus kita adalah kepada yang berisiko tinggi. Kita juga telah mengemas kini garis panduan klinikal dan mereka yang berumur 16 hingga 17 tahun akan diutamakan terlebih dahulu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Sabah bersama Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah merangkap jurucakap rasmi perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmy Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 5:18 PM