FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kedah membenarkan solat fardu dan solat Jumaat dengan kehadiran jemaah mengikut keluasan masjid dengan syarat mereka lengkap divaksin serta penjarakan satu meter berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) Mohd Yusri Md Daud berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kadar vaksinasi penduduk Kedah melebihi 80 peratus selain kes Covid-19 negeri sudah menurun.

Katanya, kadar penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital juga menurun kepada 50 peratus, serta Kedah turut beralih ke fasa tiga, Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula hari ini.

"Wirid, doa dan solat sunat dibenarkan dengan masa yang singkat dan hendaklah segera beredar selepas menyempurnakannya.

"Bagaimanapun, amalan beriktikaf selepas solat di masjid dan berkumpul selepas solat tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri, berkata program keagamaan seperti kuliah selepas Maghrib hingga Isyak, kuliah Subuh, bacaan Yassin malam Jumaat dan tazkirah sebelum solat Jumaat dibenarkan dengan tidak melebihi satu jam.

Katanya, penyampai kuliah hendaklah sudah lengkap divaksin dengan kapasiti jemaah mengikut ketetapan had solat fardu dan Jumaat.

"Semua aktiviti solat dan kuliah mestilah dengan jarak fizikal satu meter dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Aktiviti kemasyarakatan seperti program khas, jamuan, kenduri, gotong-royong, aktiviti menyediakan makanan iaitu memasak di kawasan masjid juga tidak dibenarkan.

"Bagaimanapun kita membenarkan edaran makanan secara berbungkus dan ia perlu dilakukan oleh petugas sahaja ," katanya.

Mohd Yusri berkata, solat jenazah bukan Covid-19 juga dibenarkan mengikut ketetapan solat fardu dan solat Jumaat, manakala pengurusan pengebumian, talkin dan doa dibenarkan mengikut keluasan kawasan dengan penjarakan tidak kurang satu meter.

"Amalan ziarah kubur dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Mana-mana masjid atau surau yang melanggar dan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan, boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 9:27 AM