GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Kulai: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan di sekitar Larkin dekat sini, petang semalam, berhubung kes simbah cat merah di sebuah rumah di Bandar Putra, Kulai bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 52 tahun pada Mei lalu yang menyatakan halaman rumahnya disimbah cat merah.

Katanya, pada kejadian jam 2.35 pagi, mangsa terbangun selepas terhidu bau cat yang sangat kuat.

"Siasatan di lokasi mendapati, pintu pagar hadapan serta halaman rumah mangsa disimbah cat merah selain menemukan notis ugutan ditampal pada pagar.

"Hasil maklumat, jam 7.15 petang semalam, kami melakukan serbuan di sekitar Larkin dan menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 21 hingga 27 tahun," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semakan mendapati, dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Katanya, suspek turut terbabit dengan tiga kes simbah cat di kawasan Kulai.

"Kesemua suspek direman empat hari sehingga Selasa ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 3:26 PM