Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Saya tambah sedih apabila rakan turut mengirim video rumah saya sedang terbakar," kata Zabbir Ahmad.

Zabbir, 28, adalah penghuni sebuah rumah di Jalan Ros, Batu 7, Ijok di sini, yang musnah terbakar petang semalam.

Bagaimanapun, tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.

"Saya yang sedang membeli barangan di kedai runcit bergegas pulang selepas mendapat panggilan telefon daripada rakan memaklumkan rumah terbakar.

"Melalui video dikirim rakan, rumah ketika itu hampir musnah dijilat api," katanya.

Menurut Zabbir, ketika kejadian, anak angkatnya, Mady Affandy Rudy Iquandi, 16, berada di rumah.

Sementara isterinya, Nabilah Mohsin, 29, dan dua anak mereka, Muhammad Nabil Zubair, 11 bulan dan Zabirah Nadhilah, 3 berada di rumah keluarga Nabilah di Sungai Plong, Sungai Buloh.

Katanya, Mady Affandy berusaha memadamkan api namun gagal kerana ia terlalu marak.

KEADAAN rumah pusaka peninggalan keluarga Zabbir Ahmad yang musnah dalam kebakaran di Jalan Ros, Batu 7, Ijok, semalam. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN rumah pusaka peninggalan keluarga Zabbir Ahmad yang musnah dalam kebakaran di Jalan Ros, Batu 7, Ijok, semalam. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

"Saya hilang kata-kata apabila rumah pusaka peninggalan keluarga berusia hampir 90 tahun ini musnah sekelip mata.

"Kami kini tinggal sehelai sepinggang. Perabot, barangan elektrik, tiga motosikal selain mesin rumput yang baru dibeli tiga bulan lalu turut hangus," katanya.

Zabbir ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor Datuk Jahaya Ibrahim di perkarangan rumahnya itu.

Katanya, dia yang kerugian kira-kira RM150,000 kini menumpang di rumah keluarga buat sementara.

"Syukur kami selamat. Kami akan berusaha untuk membina kembali kehidupan selepas ini," katanya.

Jahaya yang bersimpati dengan nasib Zabbir sekeluarga akan memohon bantuan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk membantu keluarga berkenaan.

"Insya-Allah, saya akan minta bantuan Datuk Seri Mahdzir. Harap semua berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 6.54 petang.

"Enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerah ke lokasi.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 7:21 PM