SAYANI Saidon (kiri) menyantuni pelancong kanak-kanak ketika meninjau suasana di Pantai Chenang, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
SAYANI Saidon (kiri) menyantuni pelancong kanak-kanak ketika meninjau suasana di Pantai Chenang, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman / 08OCT21

Langkawi: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menasihatkan pelancong yang mengunjungi Pantai Chenang dan Tengah di sini, sentiasa peka kepada cuaca buruk susulan peralihan angin monsun.

Ini kerana pulau legenda itu dilanda cuaca tidak menentu ketika ini dengan kerap menerima hujan lebat, angin kencang dan ombak besar, sekali gus membahayakan pengunjung pantai.

Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon berkata, sikap memandang remeh kepada perubahan cuaca buruk boleh mengundang tragedi buruk kepada pelancong yang bercuti sempena projek rintis gelembung pelancongan.

"Mesti sentiasa peka dan jika berlaku kelalaian hanya satu dua saat mungkin boleh mengundang bahaya sehingga membabitkan kehilangan nyawa kepada diri sendiri serta ahli keluarga.

"Kes-kes kehilangan nyawa menerusi aktiviti air (kawasan pantai) kerap berlaku ketika musim peralihan monsun seperti sekarang," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Di Air Peringkat Negeri di Pantai Chenang di sini, petang semalam.

Sayani berkata, pada masa sama, bomba turut mengingatkan pengunjung pantai dan pengusaha sukan air perlu mematuhi arahan pihak berkuasa supaya menghentikan semua aktiviti pada jam 7 malam.

"Mereka perlu patuh kerana peraturan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjamin keselamatan semua pengunjung dan mengelak tragedi buruk yang membawa kepada penyesalan berpanjangan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan fasa peralihan angin monsun di negara ini bermula pada 24 September lalu dan dijangka akan berterusan sehingga awal November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 9:59 AM