FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seorang eksekutif sebuah syarikat multinasional kerugian RM1.3 juta selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki terbabit berusia 42 tahun semalam.

Menurutnya, pada 3 September lalu, mangsa dihubungi oleh seorang pegawai LHDN mendakwa sebuah syarikat didaftarkan atas namanya mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,600.76.

"Mangsa diminta untuk mendedahkan maklumat akaun peribadi dan menyerahkan One Time Password (OTP) supaya wang itu dipindahkan ke akaun 'Bank Negara'.

"Selepas itu, mangsa mendapati terdapat transaksi pindahan wang daripada beberapa akaunnya berjumlah RM1.3 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, mangsa kemudiannya membuat semakan di LHDN dan mendapati tiada siasatan dijalankan ke atas dirinya.

"Mangsa terasa tertipu dan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Penipuan Macau Scam mensasarkan mangsa mereka dengan cara menakut-nakutkan dengan tindakan siasatan oleh pihak berkuasa dan memaksa mangsa untuk mendedahkan maklumat akaun," katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 September lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur sudah membuka sebanyak 442 kertas siasatan dengan jumlah kerugian sebanyak RM20.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 6:37 PM