NASIR (kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nor Rahmah. FOTO MARY VICTORIA DASS
NASIR (kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nor Rahmah. FOTO MARY VICTORIA DASS
Mary Victoria Dass


Ulu Tiram: "Bukan mudah untuk mengurus keperluan 22 orang yang tinggal sebumbung sepanjang pandemik Covid-19 ini, namun kami bersyukur kerana susah atau senang diharungi bersama," kata warga emas, Nor Rahmah Maison ketika ditemui di Jalan Tanjung, Felda Ulu Tebrau, di sini, hari ini.

Nor Rahmah, 68, berkata, empat keluarga iaitu satu keluarga seorang anak perempuannya selain tiga keluarga adik perempuannya, Fatimah, 65, tinggal sebumbung.

Menurutnya, ia membabitkan seorang bayi berusia tiga bulan, enam kanak-kanak dan 15 individu dewasa termasuk tiga warga emas.

Katanya, buat masa ini, mereka bergantung kepada pendapatan tiga ahli keluarga termasuk menantu Fatimah, Mohd Faizal Md Yassin, 41, yang bekerja sebagai juruteknik dan anak lelaki Fatimah iaitu Mohd Hairul Yusuf, 34, dan Mohd Khairudin Yusuf, 30, yang bekerja sebagai kontraktor di sebuah syarikat korporat.

"Rumah ini adalah milik Fatimah dan ia memiliki tiga bilik tidur, namun soal kemudahan tiada masalah sehingga kini.

"Kami turut mempunyai dua ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu isteri Mohd Hairul, Noor Afrina Ngadiran,38, yang mengalami lumpuh sejak 11 tahun lalu akibat masalah otot dan anak sulung perempuannya, Sharifah Ahmad, 48, yang kehilangan kaki kiri akibat kencing manis kronik.

"Kebiasaannya 10 kilogram beras hanya mampu menampung keperluan selama tiga hari saja, namun sepanjang pandemik, kami tidak pernah terputus bekalan, masak apa yang ada dan bersyukur kerana semua ahli keluarga termasuk kanak-kanak memahami situasi," katanya.

Nor Rahmah berkata, dia dan suaminya, Ahmad Atan, 70, yang juga bekas pemandu bas bergantung kepada bantuan bulanan Baitulmal sejumlah RM500.

Menurutnya, Sharifah yang berstatus ibu tunggal dan turut memberi jagaan kepada dua anak saudara, belum memohon bantuan daripada mana-mana agensi.

"Sharifah kehilangan suami pada tahun lalu apabila teman hidupnya meninggal akibat pendarahan di otak.

"Manakala Noor Afrina dan Mohd Hairul yang memiliki dua cahaya mata menerima bantuan JKM sejumlah RM300 sebulan namun ia digunakan bagi menampung kos pembelian lampin pakai buang untuk kegunaan hariannya.

"Saya berdoa semoga ikatan keluarga kami utuh walaupun dilanda kesulitan atau permasalahan dan diharap beban ditanggung keluarga bertambah ringan pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima sumbangan barangan keperluan dan sejumlah wang tunai disampaikan wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Nasir Ishak.

Nasir berkata, MAIJ mencadangkan bantuan sara hidup bulanan kepada Sharifah dan akan membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 5:54 PM