Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kontena penyimpanan mayat pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, bertujuan memudahkan pengurusan jenazah, dan bukannya disebabkan berlaku peningkatan kes kematian.

Timbalan Pengarah (Perubatan) HSNZ), Dr Siti Salmy Mat Nor, berkata, kontena itu digunakan untuk pengasingan jenazah antara individu yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 dan pesakit biasa.

Katanya, kontena yang mampu menampung 20 mayat itu ditempatkan di kawasan Jabatan Perubatan Forensik bagi memudahkan kerja pengurusan jenazah termasuk melakukan tayamum dan solat.

"Individu yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSNZ dan kematian di luar hospital akibat Covid-19 akan ditempatkan dalam kontena bersuhu rendah sebelum urusan lain termasuk proses tayamum dan solat jenazah dilakukan.

"Kos sewaan kontena ini sewaan dibiayai sepenuhnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan mula digunakan pertengahan bulan lalu," katanya kepada media ketika mewakili Pengarah HSNZ, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh melakukan pemantauan kerja pengurusan jenazah pesakit Covid-19, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Perubatan Forensik HSNZ, Dr Zuraida Md Zainuri dan Pakar Perubatan Forensik, Dr Siti Wira Md Yaro.

Mengulas lanjut, Dr Siti Salmy berkata, secara purata antara empat dan lima jenazah pesakit Covid-19 ditempatkan dalam kontena berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, pihaknya menyalurkan peruntukan RM8,000 sebulan selama enam bulan membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM48,000 bagi membantu HSNZ menyediakan kontena khas untuk menempatkan jenazah pesakit Covid-19.

Sementara itu, tinjauan ke Jabatan Perubatan Forensik HSNZ mendapati tiga jenazah yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 malam tadi ditempatkan dalam kontena berkenaan.

Jenazah yang berbalut dalam plastik khas itu dikeluarkan daripada kontena ke ruang khas untuk proses tayamum dan solat.

Saudara atau waris kepada jenazah turut dibenarkan memasuki ruang khas untuk membuat pengecaman mayat dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

Ketika melakukan pengecaman, waris atau saudara tidak dibenarkan menyentuh jenazah dan kedudukan antara jenazah dijarakkan melebihi dua meter.

Sejurus urusan tayamum dan solat jenazah selesai dilakukan, mayat akan dimasukkan ke dalam keranda khas yang sudah menjalani proses sanitasi untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 3:51 PM