MOHD Hamdi Mohamad dari Kampung Padang Machang, Manir melihat ayam serama yang diternak. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Hamdi Mohamad dari Kampung Padang Machang, Manir melihat ayam serama yang diternak. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Bermula sekadar suka-suka untuk mengisi masa lapang kini penternakan ayam serama mampu menjadi sumber pendapatan.

Penternak Mohd Hamdi Mohamad, 37, dari Kampung Padang Machang, Manir, di sini, berkata dia mula bergiat dalam kegiatan penternakan ayam serama itu sejak 2002.

"Pada awalnya saya hanya meminati dan membela ayam serama untuk suka-suka. Penternakan ayam serama itu sekadar mengisi masa lapang selepas pulang dari kerja.

"Bagaimanapun, apabila menyedari potensi penternakan ayam serama itu, saya mengambil keputusan membeli baka ayam serama yang terbaik untuk diternak secara komersial.

"Baka paling terkenal ssaya biak sekarang ialah 'Sami Gila' dan baka itu kerap memenangi pertandingan ayam serama," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Mohd Hamdi atau lebih mesra dipanggil Madi Manir berkata, dia mampu menjual lebih lima pasang ayam serama pada setiap bulan.

"Harga ayam serama yang dijual bermula dari RM300 hingga RM1,500 seekor bergantung kepada gred dan saiz.

"Paling mahal saya pernah menjual seekor ayam serama berusia empat bulan dengan harga RM1,500 seekor," katanya.

Katanya, dia mempunyai sebanyak 200 ayam serama pelbagai peringkat usia dan gred di mana unggas berkenaan mudah diternak kerana kos makanannya tidak besar.

"Harga jualan ayam serama pula sentiasa kekal dan tidak jatuh walaupun permintaannya tidak sehebat 20 tahun lalu. Paling murah RM100 seekor sekarang.

"Saya juga bermula dengan satu reban kecil tetapi sekarang memiliki reban ayam serama yang besar membabitkan kos pembinaan RM11,000.

"Hasil jualan ayam serama itu dikumpul sebelum membina reban besar yang mampu memuatkan lebih 300 ekor ayam serama pada satu masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 12:49 PM