Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Bermula sekadar suka-suka, namun kini ternakan ayam kampung organik yang dijalankan seorang pemuda di Kampung Banggol, Kuala Ibai, di sini, semakin mendapat sambutan.

Mohd Tarmizi Abd Wahab, 35, berkata dia menjalankan penternakan ayam kampung organik itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada Mac tahun lalu.

"Saya bosan duduk di rumah ketika PKP pertama dahulu, lalu mengambil inisiatif menternak ayam kampung organik untuk memenuhi masa lapang.

"Pada peringkat awal hanya 200 ekor ayam kampung organik yang diternak bermodalkan RM1,000 dan mampu memperolehi keuntungan agak baik selepas menjualnya.

"Bermula sejak itu saya kini menambah jumlah ternakan sehingga 1,500 ekor dan pendapatan yang diperolehi sangat lumayan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Tarmizi Abd Wahab, 35 (kanan),dari Kampuang Banggol, Kuala Ibai dan rakan ternaknya, Mohammad Rezuan Omar,39, menunjukkan anak ayam kampung organik yang diternaknya. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Mohd Tarmizi Abd Wahab, 35 (kanan),dari Kampuang Banggol, Kuala Ibai dan rakan ternaknya, Mohammad Rezuan Omar,39, menunjukkan anak ayam kampung organik yang diternaknya. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI

Mohd Tarmizi berkata, dia berasa seronok menternak ayam itu kerana sambutan terhadap ayam organik sangat tinggi berbanding ayam jenis lain.

"Ayam kampung organik ini hanya mengambil masa 45 hari sebelun boleh dijual, berbanding ayam kampung biasa mengambil tempoh enam hingga sembilan bulan.

"Malah, risiko penternakan ayam itu juga tidak banyak berbanding penternakan lain dan ia sesuai diceburi semua.

"Cuma pastikan kandang ayam bersih daripada penyakit yang boleh menyebabkan ayam sakit dan terbantut tumbesarannya," katanya.

Katanya, dia ingin memperbesarkan saiz reban ayam dan menyasarkan sebanyak 3,000 ekor ternakan pada Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 2:49 PM