PERANGKAP berkenaan. FOTO Ahmad Hasbi
PERANGKAP berkenaan. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan memasang perangkap bagi menangkap harimau kumbang yang dipercayai berlegar di Kampung Anak Air Durian Daun, Pondoi, Tampin, 3 September lalu.

Terdahulu, haiwan liar berkenaan turut membaham tiga kambing milik penduduk di kampung sama, pada 2 September lalu.

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, selain perangkap, pihaknya turut memasang kamera perangkap (trap camera) bagi mengenal pasti jumlah sebenar haiwan pemangsa itu.

"Pemasangan perangkap ini susulan aduan daripada seorang penternak kambing mendakwa haiwan peliharaannya dibaham harimau pada 2 September lalu.

"Kami sudah menghantar kakitangan Perhilitan ke lokasi kejadian bagi melakukan pemantauan selepas menerima aduan malah kamera perangkap turut dipasang berhampiran Hutan Simpan Tebong.

"Ia diletakkan di lokasi dikenal pasti dalam tempoh sebulan bagi mengumpul maklumat, selain memastikan jumlah sebenar harimau yang berada di kawasan itu," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya hanya menerima satu laporan membabitkan serangan harimau di Negeri Sembilan iaitu di Kampung Anak Air Durian.

"Hanya satu kes aktif dikesan setakat ini, bagaimanapun sekiranya terdapat kejadian seumpamanya orang ramai dinasihatkan segera melaporkannya kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Harian Metro difahamkan, harimau berkenaan didakwa membaham tiga kambing milik seorang penternak berusia 63 tahun di kampung berkenaan dalam kejadian tengah malam 2 September lalu.

Seekor lagi kambing hilang dipercayai dilarikan harimau berkenaan dan penternak itu mendakwa kejadian itu adalah kali kedua yang mana kejadian pertama, kira-kira dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 9:58 AM