Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas 26 tan beras seludup dipercayai dari negara India bernilai RM2.56 juta dalam satu operasi di sebuah stor di Jalan Telok Gadong, dekat sini, Sabtu lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, tiga lelaki berusia 26 hingga 38 tahun termasuk seorang lelaki warganegara India turut ditahan dalam Op Kontraban itu.

"Kita menyerbu stor berkenaan pada 12.10 tengah hari dan menahan tiga individu yang sedang memunggah guni berwarna putih ke dalam sebuah lori kontena di luar stor.

"Hasil serbuan, pasukan menemui pelbagai jenama beras seberat 13 tan dipercayai tidak bercukai.

"Anggaran harga semasa beras yang dirampas adalah RM584,700 dengan cukai berjumlah RM762,180, " katanya pada sidang media di Padiberas Nasional Berhad di Taman Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam stor menemui 13 tan beras yang dianggarkan bernilai RM516,670 dengan nilai cukai dianggarkan berjumlah RM698,424.

"Hasil rampasan keseluruhan yang membabitkan 26 tan beras serta sebuah lori kontena dianggarkan berjumlah RM2.65 juta," katanya.

Rizal berkata, lelaki warganegara India yang ditahan dipercayai menjadi orang tengah dan mempunyai hubungan dengan pembekal beras di negara terbabit.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan ini sekali gus memutuskan satu daripada rangkaian sindiket pengedaran beras seludup serta tidak bercukai di sekitar kawasan Klang.

Katanya, beras berkenaan dipercayai di bawa masuk untuk pasaran dalam negara dan dipercayai dijual di kedai runcit serta pasar raya kecil.

SEBAHAGIAN rampasan pelbagai jenama beras yang tidak bercukai dengan anggaran berat 26 tan bersama trailer sebanyak RM2,659,474.00 ketika sidang media di Gudang Padiberas Nasional Berhad, Pelabuhan Klang. FOTO Muhd Asyraf Sawal
SEBAHAGIAN rampasan pelbagai jenama beras yang tidak bercukai dengan anggaran berat 26 tan bersama trailer sebanyak RM2,659,474.00 ketika sidang media di Gudang Padiberas Nasional Berhad, Pelabuhan Klang. FOTO Muhd Asyraf Sawal

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Klang untuk proses dokumentasi dan laporan polis.

"Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kawal Selia Padi dan Beras Selangor atas kesalahan mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM25,000 dan semua barangan dirampas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 3:09 PM