GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Bakal bapa di negeri ini pasti tersenyum selepas hospital kerajaan membenarkan suami menemani isteri ketika bersalin sekali gus berpeluang menyambut kelahiran bayi masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S Veerapan berkata, ketika ini hanya Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, di sini, yang membenarkan pasangan untuk menemani isteri bersalin.

"Sejak Negeri Sembilan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 24 September lalu, pihak HTJ membenarkan pasangan untuk menemani isteri ketika bersalin bermula 25 September lalu.

"Bagi hospital lain, pihak kami menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan sedang membuat permohonan supaya suami dibenarkan menemani pasangannya dan ia akan diumumkan tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pasangan bagaimanapun perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan salah satu daripadanya mesti lengkap dos vaksin seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pasangan juga wajib menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebelum menemani isteri. Hanya ujian RT-PCR saja dibenarkan dan sah selama tiga hari selepas ujian dilakukan.

"Selain itu, status MySejahtera pasangan juga mesti berstatus 'low risk' dan memastikan suhu badan berada dalam keadaan normal sebelum menemani isteri," katanya.

Veerapan berkata, kebenaran itu memberi berita baik kepada pasangan yang bakal menimang cahaya mata di negeri itu lebih-lebih lagi yang melahirkan anak sulung.

"Sejak lebih setahun lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kebanyakan hospital tidak membenarkan suami atau waris untuk menemani isteri ketika bersalin.

"Suami atau penjaga hanya dibenarkan menunggu di tempat menunggu atau sekurang-kurangnya di luar wad bersalin malah tidak dibenarkan untuk melawat ketika isteri ditahan di wad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 2:18 PM