PEKERJA Hotel LaCrista membersihkan kawasan kolam renang susulan sektor pelancongan di Melaka akan dibuka mulai 1 Oktober. FOTO SYAFEEQ AHMAD
PEKERJA Hotel LaCrista membersihkan kawasan kolam renang susulan sektor pelancongan di Melaka akan dibuka mulai 1 Oktober. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nazri Abu Bakar


Melaka: Dalam usaha mengawal dan mencegah penularan Covid-19 serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan di Melaka, pengurusan Hotel LaCrista mengambil pendekatan memastikan 100 peratus pekerjanya lengkap dua dos vaksin.

Malah pengurusan hotel terbabit akan melakukan saringan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen kepada lebih 100 stafnya setiap dua minggu dalam usaha memastikan mereka serta tetamu tidak dijangkiti Covid-19.

Pengarah Urusan Hotel LaCrista, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, walaupun terpaksa menampung kos tambahan bagi membolehkan operasi tidak terjejas selepas dibuka kelak, pihaknya terpaksa bertindak demikian bagi menyelamatkan perniagaan sepanjang fasa endemik.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan sanitasi harian di kawasan utama termasuk di pintu utama dan lobi selain di semua bilik sebelum dan selepas pelanggan meninggalkan hotel.

Menurutnya, kos pengurusan lebih tinggi berbanding sebelum pandemik dan percaya harga bilik akan meningkat dalam jangka panjang.

"Sehubungan itu, kami turut melakukan pelbagai usaha dalam meningkatkan bilangan pelancong untuk menginap di hotel ini termasuk promosi ' durian runtuh beli sekarang' sebaik selepas PKP 3.0 diumumkan sebelum ini.

"Pada harga dari RM138 untuk bilik berbanding RM230 pada kebiasaannya, orang ramai boleh menginap di hotel ini pada bila-bila masa sehingga 30 Disember 2022," katanya.

Beliau berkata, setakat ini lebih 1,000 tempahan diterima daripada pelanggan di seluruh negara dan yakin ia akan meningkat selepas rentas negeri dibenarkan kelak.

Menurutnya, dalam tempoh ini pihaknya berusaha gigih untuk memastikan perniagaan dapat diselamatkan dan pada masa sama, memastikan semua pekerja dapat kembali semula bekerja kerana kini mereka bercuti tanpa gaji sehingga ada terpaksa mencari sumber lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Kami memerlukan kira-kira RM2 juta bagi memulakan semula operasi dan amat terkesan sekarang, jadi kerajaan dicadangkan memberi geran atau bentuk pinjaman sekurang-kurangnya 50 peratus dengan kadar rendah kepada pengurusan terkesan.

"Pada masa sama, kami bersyukur kerana terdapat insentif potongan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selain Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja.

"Kami menyarankan kerajaan memberi kebenaran kepada pengusaha hotel melakukan aktiviti bersemuka termasuk mesyuarat, seminar dan program komuniti diadakan di hotel bagi meningkatkan semula pendapatan berbanding bergantung sepenuhnya kepada pelancong yang menyewa bilik semata-mata," katanya.

Mengulas bendera putih yang dinaikkan di Hotel LaCrista sebelum ini, Rosthman berkata, ia sebagai simbolik bagi meluahkan bahawa sektor perhotelan Melaka terjejas dan turut dihimpit tekanan dalam situasi pandemik melanda negara.

Justeru, beliau berkata, pihaknya terpaksa menaikkan bendera itu bukannya untuk memohon bantuan makanan seperti dilaksanakan sesetengah pihak, namun sekadar mempamerkan solidariti menunjukkan sektor itu terjejas dan gagal menerima bantuan dengan lebih menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:47 PM