Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang dalam peringkat akhir penambahbaikan dokumen Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 yang mendukung kuasa negara ke arah Malaysia lebih selamat, berdaulat dan makmur.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, SKN 2.0 berkenaan dirumus untuk memberi pilihan ketenteraan berjulat luas dalam menangani krisis, konflik dan peperangan yang berkemungkinan boleh berlaku kepada negara.

Katanya, sinergi elemen Whole of Government and Whole of Society (WoGos) turut digunapakai dalam rekabentuk mekanisme pertahanan serta menjadi panduan utama kepada pembangunan elemen ketenteraan kuasa negara sekali gus sebagai garis panduan kepada dasar negara yang lain.

"SKN 2.0 ini juga memberi tumpuan kepada reformasi 'Angkatan Masa Hadapan' melalui ciri-ciri meliputi kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi.

"Reformasi Angkatan Masa Hadapan ini hendaklah dilaksanakan secara terperinci dan holistik dengan menggunakan pendekatan reka bentuk yang dipacu oleh hala tuju jelas dengan realistik dan pembangunan angkatan yang menggabungkan keseluruhan mekanisme sumber manusia, kelengkapan dan proses," katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Sambutan Hari ATM ke-88 di sini, tadi.

Beliau berkata, pembangunan angkatan dikenali sebagai ACE 30 merangkumi penjajaran serta proses perkembangan secara progresif bermula dari tahun 2020 sehingga 2030.

Katanya perancangan, pembangunan dan perolehan pertahanan hendaklah dilaksana secara menyeluruh kerana kegagalannya akan memerangkap ATM ke arah menjadi sebuah angkatan lompong malah lebih buruk lagi hasrat menjadi Angkatan Masa Hadapan akan terhalang dan berkemungkinan besar tidak akan tercapai.

ANTARA latihan kesiagaan yang melibatkan anggota dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 di Kem Segenting. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ANTARA latihan kesiagaan yang melibatkan anggota dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 di Kem Segenting. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Sementara itu, Affendi berkata, mengenai hal ehwal kebajikan warganya, satu kajian terhadap skim perkhidmatan anggota bagi melihat semula kadar pemberian pencen kepada anggota berkhidmat selama 12, 15 dan 18 tahun sedang dilaksanakan.

"Ini adalah inisiatif baharu kerana skim pencen sebelum ini terpakai kepada mereka yang berkhidmat selama 21 tahun dan ke atas sahaja selain turut sedang mengusahakan inisiatif bagi memperkasakan isteri dan keluarga warga," katanya.

Terdahulu, seramai 2,500 pegawai dan anggota ATM terbabit dalam sambutan Hari ATM bertemakan 'Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama' secara fizikal mengikut prosedur operasi standard tanpa kehadiran penonton bagi mengurangkan penularan Covid-19.

Turut diperlihatkan adalah keupayaan aset serta and aATM yang melibatkan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Saya ucapkan syabas atas pertunjukan pada awal tadi, itu adalah satu pertunjukan yang menggerunkan. Sekarang saya boleh katakan bahawa kamu semua sudah bersedia untuk demonstrasi berkelas dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 4:14 PM