Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Semua kawasan pembalakan seluas 75,000 hektar yang diluluskan kerajaan negeri sebelum ini akan diteruskan bagi mengelak implikasi undang-undang.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan kerajaan negeri meneruskan aktiviti pembalakan termasuk 25,000 hektar di Ulu Muda tertakluk kepada beberapa syarat termasuk pembukaan pembalakan tahunan berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan.

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Majlis Tanah Negara menetapkan catuan dihadkan kepada 4,200 hektar setahun.

"Dengan catuan tebangan 4,200 hektar setahun, tempoh diperlukan untuk menebang semua pokok yang diluluskan membabitkan 75,000 hektar hanya akan habis 18 tahun lagi," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PEJUANG-Jitra) mengenai rasional kerajaan negeri meneruskan aktiviti pembalakan di Ulu Muda dan adakah kerajaan negeri tiada inisiatif lain untuk menjana ekonomi negeri.

Muhammad Sanusi, berkata kerajaan negeri terpaksa meneruskan aktiviti pembalakan itu berikutan ada syarikat konsesi telah membayar premium sebanyak 100 peratus, 75 peratus dan 25 peratus.

Katanya, sekiranya konsesi yang telah diluluskan ini dibatalkan maka kerajaan negeri perlu membayar semula premium ataupun terpaksa berdepan dengan tindakan mahkamah.

"Aktiviti pembalakan di Ulu Muda dijalankan dengan kaedah mesra alam sekitar menggunakan mesin atau pun jentera pengusahasilan sistem 'log fisher' seperti yang diperkenalkan di Pahang.

"Selain itu, Kedah juga menambah jarak penampan daripada 20 meter kepada 40 meter sekarang supaya tidak masuk ke aliran air dan mengeruhkan keadaan di kawasan itu," katanya.

Muhammad Sanusi turut menjelaskan kerajaan negeri telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 seperti pembangunan projek berimpak tinggi dan perbandaran baharu yang lestari dan mampan yang akan memberi impak positif khususnya peluang pekerjaan.

"Keadaan ini juga akan menyumbang peningkatan hasil pendapatan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui kutipan hasil cukai tanah serta cukai pintu dengan wujudnya kawasan industri dan perbandaran baharu di negeri ini tanpa bergantung kepada hasil aktiviti pembalakan," katanya.

#kw DUN Kedah, Menteri Besar, pembalakan, undang-undang, Alor Setar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 1:29 PM