GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri menafikan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Bukit Keramat berada di Kompleks Hutan Hulu Muda, Sik, tetapi berlaku di hutan yang digazetkan sebagai Hutan Pengeluaran di daerah Padang Terap.

Pejabat Menteri Besar Kedah dalam kenyataan berkata, Hutan Simpan Bukit Keramat yang diwartakan pada 17 Januari 2013 seluas 11,105 hektar dibahagikan kepada dua kategori iaitu Hutan Pengeluaran dan Hutan Perlindungan.

Katanya, sebanyak 5,899 hektar digazetkan sebagai Hutan Pengeluaran iaitu hasil kayu boleh dikeluarkan, manakala Hutan Perlindungan yang seluas 5,206 hektar adalah digazetkan sebagai kawasan hutan tadahan.

"Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi (JKTHB) yang bersidang pada 1 Disember 2017 meluluskan kawasan seluas 1,400 hektar untuk aktiviti pembalakan, manakala 380 hektar lagi diluluskan pada 14 Disember 2017.

"Aktiviti pembalakan tidak dijalankan di kawasan yang digazetkan sebagai Hutan Perlindungan atau Hutan Simpan Kekal," kata kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas dakwaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang bertajuk 'NGO terkilan dengan aktiviti pembalakan di Kompleks Hutan Hulu Muda', hari ini.

Ia turut melampirkan dua imej satelit mendakwa kesan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Bukit Keramat berhampiran Empangan Ahning di Padang Terap.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan NGO berkenaan seharusnya menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam kenyataan mereka dan tidak mencetuskan kekeliruan dalam pemikiran masyarakat berkaitan apa yang didakwa.

Menurutnya, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Ogos lalu dalam kenyataannya memberi jaminan bahawa Kawasan Hutan Simpan Hulu Muda akan dilindungi sebagai kawasan tadahan.

Katanya, ia juga tiada kaitan sama sekali dengan aktiviti pembalakan di Kawasan Hutan Simpan Bukit Keramat seperti dikaitkan dalam kenyataan akhbar kumpulan NGO terbabit.

"Sehingga kini, tidak ada aktiviti pembalakan dijalankan di Kawasan Hutan Simpan Hulu Muda dan tuduhan seolah-olah kerajaan negeri memungkiri jaminan diberikan adalah tidak berasas sama sekali.

"Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) sudah menjalankan pemeriksaan pada 17 November lalu, dan mengesahkan tiada sebarang salah laku atau tebangan di luar kawasan yang diluluskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 3:17 PM