KERETA yang terbabas  ketika melarikan diri daripada pihak berkuasa. FOTO ihsan PGA
KERETA yang terbabas ketika melarikan diri daripada pihak berkuasa. FOTO ihsan PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Kereta dipandu penyeludup remaja terbabas ke dalam parit di Kampung Periok, Chabang Empat di sini, malam tadi ketika cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan dalam kereta dipandu lelaki berusia 17 tahun itu menemui 750 kilogram (kg) beras seludup pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM3,000.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kereta itu dikesan oleh anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA), 9.45 malam tadi ketika tugasan rondaan di Kampung Kajang Sebidang.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu memecut kenderaannya menghala ke arah Chabang Empat sambil diekori anggota kami.

"Tibanya di Kampung Periok, kereta itu dilihat hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit tepi jalan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhari berkata, pemeriksaan dalam kenderaan itu mendapati sejumlah guni beras dari Thailand dipercayai diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

Menurutnya lagi, semua barang rampasan termasuk kenderaan dan tangkapan dibawa ke Kompeni Taktikal Kuala Jambu untuk siasatan lanjut.

"Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 11:04 AM