Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat, hari ini dimaklumkan hanya dua rakyat Malaysia masih berada di Afghanistan dan disahkan dalam keadaan selamat.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mereka kini berkhidmat dengan organisasi kemanusiaan antarabangsa.

Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India juga sudah dimaklumkan keberadaan mereka di Afghanistan dalam keadaan selamat.

"Mereka membuat keputusan untuk kekal berada di sana bagi meneruskan tugasan, dan pada masa sama terus mengambil segala langkah-langkah bagi memastikan keselamatan mereka.

"Mereka telah diminta supaya berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi kita di New Delhi atau terus dengan Wisma Putra sekiranya mereka memerlukan bantuan konsular," katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) dalam Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, hari ini.

Dalam soalannya juga, Dr Mohd Hatta mahu mengetahui adakah Malaysia akan mengiktiraf negara Afghanistan di bawah pemerintahan baharu Taliban.

Saifuddin berkata, Malaysia masih belum membuat sebarang keputusan untuk mengiktiraf kerajaan sementara Emeriah Islam Afghanistan.

SAIFUDDIN ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat. FOTO Bernama
SAIFUDDIN ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat. FOTO Bernama

Beliau berkata, kerajaan meneliti pelbagai faktor sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjalin kerjasama diplomatik dengan Kabul.

Katanya, Malaysia berhati-hati dan meneliti perkembangan terkini yang dibawa kerajaan pimpinan Taliban itu.

"Penerimaan rakyat Afghanistan terhadap kerajaan Taliban dan pendirian yang ditetapkan secara bersama melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menjadi antara faktor yang akan diteliti Malaysia.

"Kita juga dapati kerajaan sementara yang dibentuk Taliban masih tidak bersifat inklusif dengan tidak merangkumi penyertaan etnik lain serta penyertaan wakil wanita dalam pemerintahan.

"Terdapat keperluan dan kepentingan untuk menyelesaikan konflik dalaman Afghanistan dengan cara perundingan dan muafakat inklusif yang melibatkan pelbagai golongan etnik di Afghanistan dengan matlamat penubuhan sebuah kerajaan Afghanistan yang menyeluruh

"Sebagai anggota OIC, Malaysia juga memberi tumpuan utama kepada pendirian yang ditetapkan secara bersama dalam pertubuhan ini terhadap perkembangan di Afghanistan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 1:10 PM