KEADAAN rumah penduduk di Kampung Tanjong Siam yang dilanda banjir. FOTO ihsan Facebook Juwairiya Zulkifli
KEADAAN rumah penduduk di Kampung Tanjong Siam yang dilanda banjir. FOTO ihsan Facebook Juwairiya Zulkifli
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Situasi banjir 'termenung' yang melanda beberapa kawasan di daerah ini semakin buruk apabila sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka 10 pagi, hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan PPS meningkat kepada tiga berbanding dua PPS, semalam.

PPS terbaru dibuka itu adalah PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan selepas PPS SK Rantau Panjang, Bestari Jaya dan SK Parit Mahang, Jeram dibuka semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berkata, beliau dimaklumkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjong Siam berhubung bencana yang berlaku itu.

"Banjir di Kampung Tanjong Siam di sini, berlaku akibat limpahan air Sungai Selangor yang masuk ke kediaman penduduk.

"Selepas merujuk kepada Pegawai Daerah Kuala Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kuala Selangor, kejadian ini adalah kesan banjir di Kampung Rantau Panjang yang masih belum surut mengakibatkan limpahan di bahagaian hilir," katanya menerusi hantaran di laman Facebook semalam.

Susulan itu Unit Bencana Daerah Kuala Selangor digerakkan bagi mengurus mangsa banjir.

"Saya berharap semua penduduk terjejas, berpindah sementara demi keselamatan diri dan keluarga masing-masing.

"Insya-Allah, pihak MPKK, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Bencana Daerah akan membantu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan banjir mula berlaku di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, kelmarin, membabitkan 90 mangsa daripada 27 keluarga.

Banjir itu kemudian menyebabkan 11 mangsa daripada lima keluarga di Kampung Parit Mahang, Jeram, dipindahkan ke PPS mulai petang kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 4:47 PM