Kemalangan maut membabitkan Azwan di Kilometer 16.8 NKVE arah utara dari Klang pada November lalu. Foto Ihsan PDRM.
Kemalangan maut membabitkan Azwan di Kilometer 16.8 NKVE arah utara dari Klang pada November lalu. Foto Ihsan PDRM.
Hasbi Sidek


POLIS sedang mengesan saksi bebas bagi menyalurkan maklumat mengenai empat kemalangan berasingan pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini di sekitar daerah Petaling Jaya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, kemalangan berkenaan masing-masing menyebabkan empat mangsa maut.

Menurutnya, kemalangan pertama pada November tahun lalu membabitkan seorang penunggang motosikal, Azwan Ahamad Dahalan, 23, maut dalam kemalangan di Kilometer 16.8 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara dari Klang.

“Mangsa dipercayai dilanggar kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti sebelum terbabas dan terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.

Menurutnya, kemalangan kedua pula berlaku pada 2 Disember tahun lalu membabitkan penunggang motosikal warga Indonesia, Mohd Mofid Muarif, 35, yang dipercayai terbabas sendiri di Kilometer 457.3 Lebuhraya Utara Selatan dan maut di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan ketiga pada 8 Disember tahun lalu di persimpangan Persiaran Sungai Buloh- Kota Damansara membabitkan motosikal Honda EX5 dengan kereta Perodua Myvi yang menyebabkan penunggangnya, Ishak Mat, 61, maut di lokasi.

Sahimi berkata, seorang penunggang motosikal, Mohammad Firdaus Mohammad Azni, 16, maut, selepas terbabas sendiri ketika cuba mengelak sebuah kereta Proton Saga di Jalan 51A/219 dekat Lebuhraya Persekutuan pada 10 Januari lalu.

“Justeru, saya meminta orang ramai atau saksi yang mengetahui mengenai keempat-empat kejadian itu dapat tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Rina Murniza Ibrahim di talian 013-9738580,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 1:18 PM