Syaherah Mustafa

Pasir Puteh: Menukar nombor pendaftaran bot asal dengan milik tempatan, selain menangkap ikan bersama kelompok nelayan negara ini menjadi taktik baharu nelayan Vietnam menceroboh perairan negara.

Namun taktik itu kecundang selepas dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mengawal perairan.

Pada Jumaat lalu, APMM Kelantan menahan lapan nelayan warga negara itu yang berusia antara 23 hingga 46 tahun ketika mencuri hasil negara di Muara Tok Bali di sini.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pihaknya turut merampas bot, peralatan menangkap ikan, 500 kilogram hasil ikan serta 4,000 liter diesel bernilai keseluruhan RM1.5 juta.

Katanya, kegiatan nelayan asing itu dikesan pada 2.20 petang, dengan mereka menempatkan bot dalam kalangan kelompok nelayan tempatan.

"Terdapat hampir 30 bot di kawasan berkenaan dan bot nelayan asing itu memiliki struktur fizikal berbeza, menyerupai bot nelayan Vietnam.

"Forensik awal dijalankan pada bot itu juga menemukan kesan nombor pendaftaran negara asal yang dipadamkan dengan cat putih.

"Selain itu, timbul kekeliruan apabila zon kebenaran penangkapan ikan adalah Zon B tetapi bot yang ditahan mempamerkan lesen bagi penangkapan ikan di Zon C," katanya pada sidang media di Jeti Maritim Kelantan di Tok Bali di sini, hari ini.

Syed Nor Adli (kanan) memerika warga Vietnam serta menyamar sebagai bot nelayam tempatan  yang dirampas di muara Tok Bali ketika ditemui di Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syed Nor Adli (kanan) memerika warga Vietnam serta menyamar sebagai bot nelayam tempatan yang dirampas di muara Tok Bali ketika ditemui di Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Syed Nor Adli berkata, pemeriksaan ke atas kru bot mendapati tujuh orang mempunyai pasport sebagai dokumen pengenalan diri, manakala seorang tiada sebarang pengenalan.

Katanya, pihaknya juga yakin nelayan berkenaan tidak mendaratkan ikan di mana-mana jeti perikanan dalam negara kerana semakan ke atas GPS bot itu menunjukkan sejarah perjalanan hanyalah sekitar Vietnam.

Menurutnya, semua tahanan dan rampasan dibawa ke jeti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

"Kita mengesyaki penahanan dua bot nelayan asing pada 7 September lalu, ada kaitan dengan kes terbaharu ini berdasarkan modus operandi sama iaitu memadamkan nombor pendaftaran asal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 3:53 PM