PEGUAM mewakili syarikat RMS, Muhammad Nor Izzat  (kanan), bersama wakil syarikat RMS (tengah) ketika ditemui wartawan Harian Metro. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEGUAM mewakili syarikat RMS, Muhammad Nor Izzat (kanan), bersama wakil syarikat RMS (tengah) ketika ditemui wartawan Harian Metro. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pembeli bagi sebuah lot tanah di Bukit Tunku, Syarikat RMS mendakwa membeli tanah berkenaan mengikut peraturan dan lunas undang-undang yang ditetapkan.

Peguam mewakili Syarikat RMS Muhammad Nor Izzat Nordin berkata, RMS ditawarkan hartanah terbabit oleh ejen hartanah dan seterusnya syarikat melantik peguam pada waktu itu untuk mewakili syarikat bagi berurusan dengan pihak peguam dilantik penjual.

"Susulan laporan akhbar yang dikeluarkan, pihak syarikat terpanggil untuk memberi penjelasan yang benar berkaitan pembelian tanah berkenaan.

"RMS ketika dalam proses berkenaan ditawarkan penjualan dari ejen hartanah pada September 2020 dan kemudian melantik 'serveyor' untuk membuat semakan carian di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

"Pihak syarikat kemudian melantik peguam untuk urusan jual beli dan kemudian membuat permohonan pinjaman bank, anggaran nilai tanah berkenaan yang dinilai bank adalah RM4.4 juta katanya ketika ditemui, hari ini.

"Pada awal September lalu, pihak RMS juga sudah melawat tapak tanah berkenaan dan menghantar surat minat membeli (LOL) kepada penjual dan seterusnya melantik surveyor (juruukur).

"Peguam yang dilantik oleh pihak syarikat semasa pembelian tanah itu juga membuat carian dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan mendapati semua teratur.

"Sehingga kini bayaran berhubung pembelian tanah berkenaan juga sudah habis dibayar oleh pihak syarikat," katanya.

Katanya, susulan itu, wakil daripada syarikat RMS membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 6 September lalu kerana mengesyaki laporan polis yang dibuat penjual adalah palsu.

"Laporan polis itu memohon polis menyiasat kandungan laporan polis yang dibuat penjual yang disyaki kandungan berkenaan adalah palsu dan segala keterangan yang diberikan oleh pengadu mahupun wakil pengadu adalah palsu bagi tujuan menganiaya pihak syarikat.

"Siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan termasuk terhadap pengadu mengikut Kanun Keseksaan berdasarkan peruntukan yang sedia ada," katanya.

Pada 5 September lalu, akhbar ini melaporkan polis menahan lima individu termasuk peguam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan dalam pindah milik tanah.

Ia susulan laporan polis yang dibuat dua beradik yang mendakwa tidak tahu dan tidak pernah berurusan untuk pertukaran hak milik tanah yang dianggarkan bernilai RM7 juta itu.

Bagaimanapun, kelima-limanya sudah dibebaskan selepas permohonan tambahan reman polis ditolak mahkamah.

Berita berkaitan

Tangan ghaib kebas tanah RM7 juta

Tanah lot RM7 juta: Permohonan reman tambahan tiga suspek ditolak

Tanah lot RM7 juta: Prosedur tukar hak milik ikut undang-undang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:25 PM