MOHD Thaqiffaiz Hasbi. FOTO Melvin Joni
MOHD Thaqiffaiz Hasbi. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: "Saya sangat lega dan gembira kerana sudah menerima suntikan vaksin," kata Mohd Thaqiffaiz Hasbi, 16, antara penerima suntikan vaksin Covid-19 pertama untuk golongan pelajar berusia 12 hingga 17 tahun yang bermula di Sarawak mulai hari ini.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Matang bersama rakan-rakan lain menerima suntikan di Klinik Kesihatan Telaga Air, di sini.

"Saya tidak sabar untuk ke sekolah kerana tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya ketika ditemui di sini.

Perasaan sama dikongsi rakannya, Mohd Iqmal Hakimi Ahmad, yang bersyukur kerana sudah menerima suntikan vaksin.

MOHD Iqmal Hakimi Ahmad. FOTO Melvin Joni
MOHD Iqmal Hakimi Ahmad. FOTO Melvin Joni

Bagaimanapun, dia belum mempunyai keyakinan untuk kembali ke sekolah kerana bimbang dengan jangkitan Covid-19.

"Namun saya rasa suntikan vaksin ini penting untuk semua pelajar demi kebaikan kita sendiri," katanya.

Seorang lagi pelajar, Nurul Syakinah Masri berkata, kehadirannya untuk mendapatkan suntikan vaksin didorong oleh gurunya.

"Secara jujur, saya merasa gementar untuk mengambil vaksin tetapi guru memberi dorongan dan maklumat mengenai vaksin.

"Saya gembira setelah mendapat vaksin dan merasa selamat untuk kembali ke sekolah," katanya.

Seramai 289,200 remaja berusia di antara 12 hingga 17 tahun di Sarawak akan mula menerima vaksin secara berperingkat bermula hari ini sehingga hujung minggu ini.

Turut meninjau proses suntikan vaksin kepada pelajar SMK Sri Matang di Klinik Kesihatan Telaga Air, hari ini adalah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 5:11 PM