LAPAN lelaki yang ditahan dalam Op Cantas disyaki ada kaitan dalam dengan kongsi gelap. FOTO IHSAN POLIS
LAPAN lelaki yang ditahan dalam Op Cantas disyaki ada kaitan dalam dengan kongsi gelap. FOTO IHSAN POLIS
Nuraliawati Sabri


Melaka: Lapan lelaki disyaki ahli kumpulan kongsi gelap ditahan polis menerusi Op Cantas di Taman Ayer Merbau, Jasin, di sini, pada Jumaat lalu.

Lapan individu itu ditahan pasukan Unit Pencegahan Kongsi Gelap, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 11.30 malam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, semua suspek berusia antara 30 hingga 43 tahun itu ditahan ketika sedang berkumpul di kawasan padang permainan sambil meminum minuman keras.

Beliau berkata, polis mengesan sekumpulan lelaki sedang berkumpul sebelum pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan tujuh daripada lapan lelaki itu menemui beberapa tatu.

"Tatu itu disyaki ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap 21 dan 08 dan semua suspek terbabit berasal dari Jasin.

"Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat pembabitan mereka dalam sebarang kegiatan jenayah.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lapan lelaki itu turut dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, polis Melaka memandang serius aktiviti kumpulan kongsi gelap dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit dalam aktiviti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 1:19 PM