ORANG ramai mula mengunjungi kawasan perkelahan di Sungai Tua Ulu Yam. FOTO Aswadi Alias
ORANG ramai mula mengunjungi kawasan perkelahan di Sungai Tua Ulu Yam. FOTO Aswadi Alias
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Rakyat perlu bersedia untuk hidup dalam suasana normal baharu supaya peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak akan memberi impak negatif.

Ini kerana peralihan fasa PPN bermakna akan lebih banyak kelonggaran diberikan kepasa aktiviti sosial dan ekonomi.

Mengulas lanjut, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, stigma segelintir masyarakat suntikan vaksin menyebabkan mereka terhindar daripada dijangkiti Covid-19 adalah tidak tepat.

Menurutnya, apabila peralihan fasa PPN dikhuatiri masyarakat akan mula alpa kerana berasakan vaksin boleh mencegah Covid-19.

"Mereka perlu sedar kelonggaran diberikan perlu sama dengan kesedaran masyarakat untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

"Jangan mudah leka kerana menganggap jumlah kes turun dan sudah divaksin menyebabkan normal baharu diabaikan sehingga menyebabkan jangkitan boleh meningkat semula," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, sehingga kini masih ada individu yang disuntik dijangkiti Covid-19 dan masyarakat perlu sedar pematuhan SOP adalah pelindungan terbaik.

Katanya, kelonggaran diberikan tidak bermakna sekiranya jumlah kes kembali meningkat apabila SOP diabaikan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilapor berkata, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal beralih ke Fasa Dua PPN dalam waktu terdekat.

Peralihan itu akan dibuat selepas kedua-dua Wilayah Persekutuan sudah mencapai 100% kadar vaksinasi bagi dos pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 3:53 PM