TAN Sri Abdul Hadi Awang yang ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila . FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TAN Sri Abdul Hadi Awang yang ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila . FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Seiring fasa peralihan ke endemik yang bermula hari ini, umat Islam diseru supaya memanfaatkan kelonggaran diberi kerajaan dengan melakukan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negara.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kebenaran untuk solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya selepas dua tahun larangan dikuatkuasakan berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Marang itu tetap mengingatkan semua pihak agar terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19, selain mengambil vaksin.

"Alhamdulillah kita kena manfaatkan peluang kebebasan yang diberi ini untuk makmurkan masjid dan meneruskan kerja masing-masing.

"Jangan takut dan dalam masa yang sama mestilah jaga kesihatan, pencegahan kena jaga, vaksin kita ambil, kena ada ikhtiar," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, masyarakat perlu mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebagai usaha membendung jangkitan berkenaan daripada menjadi semakin buruk.

Hari ini adalah hari pertama negara memasuki fasa peralihan ke endemik yang menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan termasuk pembukaan sempadan negara, selain kebenaran bersolat jemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 12:35 PM