DR Adham (tengah) beramah mesra bersama penerima vaksin ketika melawat PPV Mount Austin. FOTO Bernama
DR Adham (tengah) beramah mesra bersama penerima vaksin ketika melawat PPV Mount Austin. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Rakyat Malaysia yang mendapat vaksinasi lengkap di luar negara perlu membuat laporan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan sijil vaksinasi disahkan dan diiktiraf menerusi aplikasi MySejahtera.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah itu bagi membolehkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mengesahkan ketulenan sijil vaksinasi antarabangsa serta vaksinasi diambil.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan rakyat negara ini yang sudah lengkap vaksinasi di luar negara dibenarkan menjalani kehidupan seperti biasa termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sektor ekonomi negara.

"Bagi mereka yang dapat vaksinasi di luar negara termasuk Singapura atau negara lain dan ingin mendapat sijil vaksinasi digital menerusi aplikasi Mysejahtera, mereka perlu membuat laporan ke PKD.

"Ia bagi membolehkan mereka memaklumkan tentang vaksinasi diterima di luar negara untuk disahkan secara rasmi. Yang penting kita mahu sahkan sama ada sijil vaksinasi antarabangsa diterima itu tulen selain jenis vaksin diterima diluluskan negara.

"Prosesnya membabitkan Jabatan Kesihatan Negeri akan hantar laporan itu ke CPRC di Putrajaya sebelum agensi itu membuat pengesahan serta memaklumkan MySejahtera untuk mengeluarkan sijil vaksinasi digital di aplikasi itu. Itu proses yang sedang kita laksanakan.

"Kita sudah maklumkan Jabatan Kesihatan Negeri supaya PKD mengambil maklum rakyat negara ini yang hadir ke situ untuk membuat laporan vaksinasi mereka di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mount Austin di Austin International Convention Centre, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Adham yang juga pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, kerajaan akan memeriksa teliti sijil vaksinasi pelancong di pintu masuk antarabangsa Langkawi sebaik pulau peranginan itu dibuka semula di bawah program gelembung pelancongan, mulai 16 September ini.

"Pelancong akan tunjuk sijil vaksinasi mereka di pintu masuk antarabangsa di Langkawi untuk pengesahan.

"Kita menerusi pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) ada kaedah atau SOP tertentu yang akan diguna pakai nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 1:28 PM